Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Salam sejahtera dan salam hormat.
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama menjayakan Majlis Makan Malam Tahunan ASAS 2026 (MMMTA’26) yang penuh bermakna ini.
Malam ini amat istimewa kerana kita bukan sahaja berhimpun dalam suasana ukhuwah dan silaturahim, malah meraikan 63 tahun penubuhan Sekolah Alam Shah sejak tahun 1963, sebuah institusi yang telah melahirkan begitu ramai tokoh, pemimpin dan profesional yang menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.
Bagi pihak jawatankuasa penganjur, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua penaja dan rakan strategik yang telah memberikan sokongan padu, sama ada dalam bentuk kewangan, kepakaran mahupun komitmen moral. Tanpa sokongan tuan-tuan dan puan-puan, majlis sebesar ini tidak mungkin dapat direalisasikan dengan jayanya.
Ucapan terima kasih yang tidak terhingga juga saya tujukan kepada rakan-rakan gabungan, para bekas guru yang kita hormati, serta seluruh warga alumni yang hadir dari pelbagai generasi. Kehadiran dan sokongan anda semua mencerminkan semangat setiakawan dan kebersamaan yang menjadi tunjang kekuatan kita sejak dahulu hingga kini.
Tidak dilupakan, penghargaan kepada seluruh jawatankuasa pelaksana yang telah bertungkus-lumus merancang dan melaksanakan MMMTA’26 ini dengan penuh dedikasi dan komitmen. Segala usaha dan pengorbanan anda amat kami hargai.
Sekiranya sepanjang penganjuran majlis ini terdapat sebarang kekurangan, kelemahan atau kekhilafan, sama ada dari segi pengurusan, layanan mahupun atur cara, kami dengan rendah hati memohon ampun dan maaf.
Akhir kata, semoga silaturahim yang terjalin pada malam ini akan terus diperkukuhkan demi kelangsungan dan kegemilangan Sekolah Alam Shah pada masa hadapan.
InsyaAllah, sepertimana telah dihebahkan serta dimaklumkan awal kita akan bertemu lagi pada MMMTA’29 pada tahun 2029 dengan semangat C.U.J yang lebih utuh dan kenangan yang lebih bermakna.
b.p. Komiti MMMTA2026💛💙🩷
Sekian, terima kasih.
Wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

















