Mantan Presiden ASAS

Mantan Presiden ASAS

.

PRESIDEN ASAS PERTAMA (1984 – 1989)

Allahyarham Lajman Haji Sirat memang nama yang tidak asing dalam lipatan sejarah SAS sejak penubuhannya pada tahun 1963. Sebagai pelajar pengasas, banyak catatan sejarah, liku jatuh bangun dan cabaran pahit manis yang telah dialami dan dilalui oleh beliau. Allah lebih menyayangi beliau apabila telah dijemput menemui-Nya pada tahun 1989, ketika berusia 43 tahun. 

Semasa hayatnya, Allahyarham adalah pelajar yang berwibawa dengan menunjukkan ciri kepimpinan sebagai Ketua Pelajar SAS tahun 1963 – 1964. Beliau juga aktif dalam sukan bola sepak. Beliau merupakan pelajar aliran Melayu pertama yang menempa sejarah dengan memasuki Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran di Universiti Malaya pada tahun 1965. Seterusnya, Allahyarham melanjutkan pelajaran bagi mendapatkan Sarjana Ekonomi di University of Philipines di Manila dan kembali bertugas sebagai Pensyarah di Fakulti Ekonomi & Pentadbiran, Universiti Malaya. Allahyarham seterusnya bertugas sebagai Pengarah Bahagian Ekonomi di Public Bank Berhad dari tahun 1983 hingga 1989. 

Banyak hasil bernas, nukilan dan buah fikiran Allahyarham diterbitkan melalui media cetak Public Bank untuk kegunaan umum. Allahyarham turut menabur jasa kepada sektor perusahaan dan perniagaan Melayu melalui peranannya sebagai Setiausaha Agung, Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Malaysia dari tahun 1971 hingga 1979. Allahyarham bersama-sama Dato’ Dr. Zabir Bajuri, Prof. Hairi Abdullah, Allahyarham Sulaiman Ali, Haji Minhat Mion (Setiausaha), Dato’ Emran Kadir, Dato’ Abdul Raof Hussin, Ir. Ghazali Bujang, Allahyarham Tan Sri Dato’ Seri Abdul Halil Mutalib, Dato’ Johar Murad, Dato’ Haji Ahmad Tajuddin Abd. Rahman (Bendahari), Prof. Mahmud Kitom, Sdr. Nik Othman dan Dr. Hassan Mad telah mengasaskan dan menubuhkan Persatuan Alumni SAS pada tahun 1984. 

Beliau juga telah menjadi Presiden ASAS yang pertama sehingga kembalinya ke rahmatullah pada tahun 1989. Semoga Allah mencucuri rahmat terhadap roh Allahyarham Lajman Haji Sirat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman, para syuhada dan para solihin. Amin. Jasamu tetap dikenang.

PRESIDEN ASAS KEDUA (1989 – 1999)

Berganding bahu sejak awal lagi dengan Presiden ASAS Pertama, Allahyarham Lajman Haji Sirat, Dato’ Dr. Haji Zabir selaku Timbalan Presiden untuk menerajui ASAS sebagai Presiden memang pilihan yang tepat. Beliau juga diberi kepercayaan untuk menjadi YDP PIBG bagi tahun 1989 – 1995 dan bertuah kerana mempunyai dua orang putera di SAS. Dalam kesibukannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif / Pengurus Besar Credit Guarantee Corporation Bhd (CGC) pada 1979 – 1987, beliau telah banyak menyumbang tenaga dan idea ke arah penubuhan Alumni SAS bersama Allahyarham Lajman Haji Sirat dan pengasas Alumni SAS yang lain. 

Semasa menjawat jawatan Pengarah Urusan Kumpulan, Kumpulan Peransang Selangor Berhad (1987 – 1995), beliau dengan penuh iltizam, telah berkorban masa, tenaga dan material demi membangun dan memertabatkan ASAS. Antara aktiviti menarik sepanjang kepimpinannya termasuklah menganjurkan Majlis Malam Presiden, Majlis Malam Kenangan ASAS di Kuala Lumpur dan di Alor Setar, perjumpaan dengan mantan pelajar SAS di Kuantan, Pahang dan Johor Bahru. 

Beliau juga menganjurkan Seminar Penguasaan Bahasa di Shah Alam, Hari Keluarga ASAS di Gombak dan Sukan Tahunan di SAS. Semasa beliau memegang tampuk kepimpinan ASAS, beliau telah berjaya mendapatkan sekeping tanah di Petaling Jaya dari kerajaan Selangor untuk mendirikan Bangunan ASAS. Cinta Dato’ Zabir kepada ASAS dan perjuangannya terserlah apabila beliau dengan tulus hati mendahulukan premium tanah yang melibatkan satu jumlah yang besar. 

ASAS hanya dapat memulangkan wang premium tersebut selepas 10 tahun tanpa dikenakan sebarang faedah. Dato’ Zabir juga telah berjaya mewujudkan landasan yang kukuh dan mantap sebagai sebuah organisasi untuk terus memacu ke hadapan menerusi ASAS sebagai wadah perangkaian yang aktif dan berkesan. Jasa dan sumbangan Dato’ Dr. Haji Zabir yang tidak ternilai akan terus dihargai dan dikenang oleh seluruh warga ASAS.

PRESIDEN ASAS KEEMPAT (2009-2013)

Kongsikan ke Social Media Anda !