Sejarah

Sejarah Penubuhan

 

 

Persatuan Alumni Sekolah Alam Shah (ASAS) telah ditubuhkan pada 31 Oktober 1984 dengan diketuai oleh Allahyarham Lajman Haji Sirat sebagai Presiden dan Tuan Haji Minhat Mion sebagai Setiausaha Kehormat yang pertama. Penubuhan ASAS ini adalah hasil daripada inisiatif beberapa mantan pelajar SAS yang ingin memastikan hubungan silatulrahim yang terbina semasa di SAS dapat diteruskan sehingga keluar dari SAS.

Sejak itu, ASAS telah berkembang pesat daripada sebuah persatuan yang kecil dengan serba kekurangan kepada organisasi yang mempunyai keahlian seramai lebih 2800 orang (sehingga Oktober 2019) dengan mempunyai bangunan sendiri di Kota Damansara dan Putrajaya. ASAS juga telah berjaya menubuhkan Koperasi ASAS Selangor Bhd bagi memantapkan kedudukan kewangan di samping memacu ekonomi ASAS dan ahli-ahli ke tahap yang lebih tinggi dengan penglibatan di dalam aktiviti-aktiviti ekonomi dan pelaburan. Koperasi juga telah membeli sebuah bangunan di Putrajaya bagi menjana pendapatan di masa depan. Demi menyahut seruan agar ASAS menyediakan platform bagi ahli untuk beramal dan menyumbang kepada masyarakat yang telah berjasa kepada mereka satu masa dahulu, Yayasan Amal ASAS telah ditubuhkan dan sehingga kini telah memberikan pelbagai sumbangan kepada mereka yang memerlukan termasuk bantuan kepada SAS dan masyarakat asnaf.

Sepanjang penubuhan ASAS selama 30 tahun, pelbagai aktiviti telah dijalankan bagi mengeratkan hubungan silaturahim sesama ahli seperti aktiviti sosial, sukan dan kebajikan, di samping memberikan sumbangan kepada kemajuan pelajar dan sekolah dengan mengadakan sesi ceramah motivasi kepada pelajar SAS dan membantu meningkatkan prasarana sekolah demi memastikan SAS dapat melahirkan pelajar berilmu dan berkemahiran tinggi.

ASAS juga melibatkan diri dalam aktiviti bersama alumni SBP yang lain seperti menyertai pertandingan boling anjuran TKCOGA dan pernah menjadi penganjur kepada pertandingan golf dan “treasure hunt” inter-alumni SBP. Pasukan ragbi ASAS, ASASRC, amat aktif dalam liga kelab dan ragbi Piala Agong. Begitu juga dengan sukan futsal, bolasepak, kriket dan bola tampar. Acara tahunan seperti Jamuan Hari Raya dan Majlis Berbuka Puasa telah berjaya di adakan secara konsisten setiap tahun dan menarik ramai penyertaan. Begitu juga Majlis Makan Malam Tahunan yang mengumpulkan lebih 800 orang alumni SAS dan mantan guru-guru SAS telah dapat dianjurkan setiap tahun. Sejak tahun 2010, Old Boys Weekend telah dianjurkan oleh setiap batch alumni bagi memberi peluang kepada ahli-ahli ASAS untuk bermalam di asrama sekolah dan memanfaatkan hujung minggu beraktiviti bersama rakan-rakan bagi membangkitkan nostalgia semasa di SAS. Pada tahun 2013, ASAS juga telah memulakan program pemerkasaan warga ASAS bagi melahirkan pemimpin yang berkaliber dan mampu memberikan impak besar kepada kepimpinan sektor awam dan swasta, selain melahirkan usahawan-usahawan berjaya di peringkat nasional dan global.

ASAS juga berhasrat menerbitkan Direktori ASAS yang memuatkan maklumat ahli ASAS dalam pelbagai bidang bagi membolehkan ahli memaksimakan hubungan jaringan untuk kejayaan bersama. Ini merupakan sebahagian daripada inisiatif untuk membawa ASAS ke hadapan dan menjadi peneraju kepada pembangunan negara. Bagi meluaskan penyebaran maklumat serta promosi aktiviti ASAS kepada ahli, ASAS sedang dalam proses membina pengkalan data ahli dan mewujudkan laman web baru ASAS. Inisiatif ini bakal menambahnilai kepada saluran komunikasi sedia ada seperti Facebook dan emel dalam memantapkan jaringan serta membolehkan perniagaan sesama ahli dijalankan.

Logo ASAS

Kongsikan ke Social Media Anda !